TEMERLOH,12 Jun- Tindakan kerajaan menaikkan harga petrol di pasaran menyebabkan hampir 400 nelayan Sungai Pahang di daerah ini lumpuh.
Justeru mereka mendesak agar kerajaan segera mengiktiraf mereka dengan pemberian subsidi minyak sebagaimana yang dinikmati nelayan laut.
Nelayan sungai di Pahang mula diperundangkan kegiatan mereka pada tahun 1991 di bawah enakmen Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991.
Di bawah peraturan ini semua nelayan telah dikenakan bayaran lesen menangkap ikan seperti lesen bot, lesen menjaring ikan dan juga lesen jaring hanyut atau disebut lesen menghanyut.
Malangnya, kata nelayan kepada wartawan Harakahdaily dalam satu pertemuan dekat sini baru-baru ini, kerajaan tidak pernah mengambil peduli untuk membela nasib mereka seolah-olah tiada pengiktirafan dibuat sebagaimana nelayan di laut.
Dalam tinjauan wartawan mendapati semua bot nelayan Sungai Pahang menggunakan enjin berkuasa 18 kuda ke bawah menggunakan petrol dan kenaikan harga minyak petrol dipasaran sudah tentu menyempitkan kehidipan mereka.
"Kalau keadaan kami dibiarkan macam ini lumpuhlah kegiatan kami. Hidup kami bergantung kepada rezeki di sungai. Tapi, kalau minyak naik kerajaan pula tak pandang kami, macam mana kami nak hidup, nak dapatkan ikan masa ini bukannya senang, sempitlah hidup kami," rungut mereka.
Bagi Zulkifli Masri dari Kampung Paya Kecik Hulu, beliau berkerja kampung dengan mengambil upah menorah getah orang, juga menjadikan aktiviti menangkap ikan di sungai sebagai punca pendapatan. Kini pendapatannya kian terjejas akibat kenaikan petrol dan ketiadaan subsidi.
"Keadaan nelayan di sungai sekarang dah jauh berubah. Dulu orang cari ikan untuk tujuan makan sendiri. Mereka naik perahu. Kini, kami nelayan sepenuh masa. Ada di antara kami mencari ikan sebagai pekerjaan utama. Kami guna bot petrol. Kadang-kadang dapat tangkap ikan. Tapi, ada masa tangkapan kami kosong. Minyak terus naik, mana nak cari makan,"keluhnya.
Sementara itu, Mazlan Sidek kesal kerana golongan miskin sepertinya tidak dipedulikan kerajaan sedangkan jumlah nelayan sungai dari hari ke hari semakin bertambah.
"Kalau ikutkan jumlah orang cari nafkah di sungai ini lebih ramai dari yang didaftarkan seramai 400 itu. Itu yang berlesen sedangkan ramai lagi orang cari ikan tak berlesen. Ini menunjukkan isu nelayan sungai bukan isu kecil lagi. Tapi, kami macam tak dipedulikan,"kesalnya.
No comments:
Post a Comment