Salmiyah Harun Thu Jun 19, 08 5:59:52 pm MYT (harakahdaily.net)
KUALA LUMPUR, 19 Jun (Hrkh) - Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) mengumumkan bahawa perhimpunan satu juga rakyat akan diadakan pada 6 Julai 2008 bertempat di Padang Timur Petaling Jaya berhadapan Amcorp Mall pada jam 10.00 pagi.
Penyelaras Protes, Dr Hatta Mohd Ramli yakin Protes dapat mengumpul sejuta rakyat negara ini kerana keadaan negara semakin gawat dengan berbagai-bagai masalah termasuklah politik kerajaan.
Tambahan pula katanya, sudah 15 hari rakyat terus menjalani kehidupan yang terhimpit sejak kenaikan harga minyak baru-baru ini.
Katanya, kemarahan rakyat semakin memuncak dengan demonstrasi membantah kenaikan minyak merata-rata tempat termasuk di Masjid Kampung Baru dan di Kajang.
Beliau juga meminta satu juta rakyat yang akan mengikuti perhimpunan itu memakai baju berwarna merah sebagai identiti rasmi membantah kenaikan harga minyak.
Oleh itu, katanya Protes kali ini dengan slogannya 'Protes Satu Juta Rakyat Turun' akan terus menyatakan siri bantahan terhadap kerakusan kerajaan di seluruh negara.
Ketika ditanya sebab Padang Timur dipilih sebagai lokasi perhimpunan, Dr Hatta berkata Protes mengambil kira keselesaan peserta himpunan dan ia berdekatan dengan sebuah tasik rekreasi.
"Orang ramai boleh datang dari beberapa arah tanpa kesesakan seperti dari lebuh raya persekutuan dan boleh menggunakan kemudahan awam LRT yang berhenti di Taman jaya," katanya kepada wartawan di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut.
"Orang ramai boleh datang dari beberapa arah tanpa kesesakan seperti dari lebuh raya persekutuan dan boleh menggunakan kemudahan awam LRT yang berhenti di Taman jaya," katanya kepada wartawan di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut.
Jelasnya, dalam perhimpunan itu pemimpin Pakatan Rakyat turut berucap kemudian diikuti tayangan media tentang senario kenaikan harga minyak yang akan memberi semangat dan kesedaran kepada rakyat.
"Di samping itu, kita akan menjemput beberapa artis serta mengadakan persembahan teater bergerak untuk menaikan semangat kepada para penyokong bantahan itu," katanya.
Apa yang penting Hatta menegaskan, perhimpunan itu sebagai satu mesej penting kepada Abdullah Badawi untuk menurunkan harga minyak.
Katanya, orang ramai pula tidak perlu risau dengan keselamatan di padang itu, kerana pihak penganjur akan menyediakan seramai 3,500 petugas keselamatan untuk mengawal cubaan provokasi oleh pihak tertentu.
Beliau juga menegaskan tidak berhasrat untuk memohon sebarang permit daripada pihak polis untuk perhimpunan itu.
Merujuk hari perhimpunan yang berubah, Hatta berkata hari Ahad cuti umum dan tidak ramai yang berniaga dan keadaan lalu lintas agak lengang.
"Jika tidak ada di kalangan peniaga merungut mereka kerugian ribu ringgit kerana perhimpunan oleh Protes," katanya.
Menjawab kenapa tidak membuat di tempat yang diputuskan sebelum ini iaitu KLCC, Hatta berkata, sasaran perhimpunan kali ini agak besar dan di kawasan padang berkenaan amat sesuai di samping memudahkan pihak keselamatan mengawal.
Semasa ditanya apa kemucak perhimpunan tersebut, Hatta berkata mereka akan membuat satu 'pengisytiharan' bagaimanapun beliau tidak menjelaskan apa pengisytiharan itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang juga penyelaras Protes berkata, himpunan itu juga sebagai satu insiatif Pakatan Rakyat bahawa mereka amat serius dalam menangani masalah rakyat.
Bagaimanapun, katanya untuk menggerakkan satu juta rakyat turun sama-sama membantah kenaikan minyak adalah satu cabaran yang besar.
"Kita tunjuk kepada kerajaan kita akan menggunakan hak demokrasi untuk mengubah nasib kita sendiri," katanya.
Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin mengajak semua mahasiswa dan mahasiswi untuk sama-sama menyertai perhimpunan itu sebagai satu platform menyampaikan ketidakpuasan mereka terhadap kerajaan.
"Mereka mewakili golongan muda untuk sama-sama mengembleng tenaga bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan kerajaan memanipulasi isu minyak," katanya.
Seorang lagi penyelaras Protes S. Arultcelvan pula berkata, pada 6 Julai nanti rakyat telah membuktikan kepada kerajaan bahawa mereka menyahut cabaran Perdana Menteri untuk terus mengadakan perhimpunan bantahan. - mns_
No comments:
Post a Comment