Tuesday, June 10, 2008

Demo harga minyak di Terminal One Seremban 14 Jun ini - Protes Negeri Sembilan

Wan Nordin Wan Yaacob (Harakahdaily)

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Hrkh) - Kenaikan harga minyak yang diumumkan kerajaan minggu lalu menimbulkan kemarahan pelbagai pihak, sementara banyak himpunan aman telah dan akan diadakan.

Terbaru, Sekretariat Gabungan Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) peringkat Negeri Sembilan yang diketuai oleh, Zulkefly Mohamad Omar menyatakan komitmen akan mengadakan himpunan aman pada 14 Jun ini.

Dalam satu mesyuarat yang diadakan di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Sembilan di Seremban semalam, jawatankuasa bersetuju dengan Himpunan Aman yang bakal diadakan di Terminal One, Seremban pada 14 Jun 2008.

Antara yang hadir dalam mesyuarat itu semalam ialah, pimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan, Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Loke Siew Fook, sayap Pemuda Parti-Parti Politik Pakatan Rakyat (KeADILan, DAP, PAS) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Dalam mesyuarat tersebut Sekretariat Protes Negeri Sembilan merakam jutaan terima kasih atas penghormatan yang diberikan oleh Protes Pusat yang telah memilih Negeri Sembilan sebagai negeri pertama dalam 'Roadshow Protes; di seluruh negara bagi membantah kenaikan harga minyak.

Menurut Zulkefly, Sekretariat Protes Negeri bersetuju untuk mengadakan himpunan aman ini diadakah di hadapan Kompleks membeli belah di Terminal One Seremban.

Ketika ditanya berhubung keselamatan orang ramai semasa himpunan aman ini, Zulkefly yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan berjanji himpunan ini akan berjalan dengan aman jika tidak ada provokasi dan tindakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini PAS pernah menganjurkan himpunan aman tanpa sebarang gangguan, dan buktinya Himpunan Aman yang diadakan di Pasar Besar Seremban berjalan dengan aman dan semua orang yang hadir bersurai dengan baik dan selamat.

Zulkefly setersunya berharap peristiwa 28 Mei 2006 di KLCC tidak berlaku di mana tindakan ganas serta zalim pasukan polis simpanan persekutuan (FRU) dalam menyuraikan perhimpunan aman membantah kenaikan harga minyak.

Beliau juga berharap pihak keselamatan dapat memberi kerjasama kepada rakyat untuk menyatakan bantahan terhadap kenaikan minyak yang memberi kesan kepada semua pihak tidak kira latarbelakang politik kepartian.

Bagi pihak Sekretariat Protes Negeri Sembilan Zulkefly merasakan perlu untuk meneruskan bantahan aman bagi menyedarkan rakyat mengenai implikasi kenaikan harga minyak dan tarif elektrik yang baru diumumkan.

Selain daripada itu, beliau difahamkan kebanyakan syarikat-syarikat multinasional yang melabur di Negeri Sembilan melahirkan rasa gusar berikutan kenaikan harga minyak yang begitu mendadak.

Keadaan ini jika tidak di kawal bagi mendatangkan mudarat yang lebih besar seperti pekerja-pekerja industri akan kehilangan kerja akibat penutupan kilang-kilang yang ada, katanya.

No comments: