PROTES SEJUTA RAKYAT
TURUN 6.7.08
TURUN 6.7.08
Sekretariat PROTES telah menerima pelbagai pertanyaan daripada ramai pihak berhubung dengan konsep himpunan dan acara-acara yang akan berlangsung pada hari Himpunan Aman PROTES Sejuta Rakyat TURUN 6 Julai 2008 nanti.
Oleh sebab itu, PROTES ingin menjelaskan kepada semua bahawa konsep bagi himpunan itu TIDAK BANYAK BERBEZA dengan himpunan-himpunan yang pernah dianjurkan oleh PROTES sebelum ini. Memang ada sedikit perbezaan di sudut method, kronologi serta pengisian himpunan kerana Himpunan Aman 678 ini dilihat lebih tersusun dan terprogram dengan baik.
Walau bagaimanapun adalah tidak benar sama sekali tanggapan ataupun “usikan nakal” beberapa pihak bahawa kononnya himpunan tersebut telah berubah menjadi sebuah program konsert ataupun hiburan semata-mata sehingga mengkesampingkan agenda utama PROTES yakni keprihatinan kita terhadap derita dan jerit perih rakyat.
PROTES juga tidak menafikan bahawa sepanjang tempoh himpunan itu nanti adanya slot pengisian dalam bentuk hiburan. Tetapi ianya hanyalah sebagai interlude dan prelude kepada setiap acara pra-puncak bagi himpunan itu nanti.
PROTES juga telah berbincang dengan Jawatankuasa Kecil Pengisian program berhubung bentuk-bentuk hiburan yang diberi keutamaan pada hari tersebut. Kita akan memberi keutamaan kepada hiburan bersifat kritik sosial insan-insan seni terhadap pihak pemerintah memandangkan kelompok ini secara percuma telah menawarkan diri mereka untuk turut menyumbang dalam acara bersejarah PROTES RAKYAT pada 6.7.08 itu.
Selain itu, persembahan drum India dan drum Cina, persembahan kompang, nasyid, dikir barat dan lagu-lagu politik juga akan turut mengambil tempat bagi mencuri perhatian rakyat. Solat Hajat Perdana juga akan diadakan selepas solat maghrib khusus kepada para peserta yang beragama Islam sebagai munajat kita kepada Allah agar memberi keselamatan kepada seluruh rakyat negara ini daripada kezaliman tangan-tangan pemerintah.
Justeru PROTES percaya bahawa antara yang membezakan himpunan pada kali ini dengan yang sebelumnya ialah di sudut tempoh masa bagi rakyat atau para peserta berhimpun. Di mana PROTES meletakkan anggaran masa dari jam 10.00 pagi sehingga acara ke sebelah malam.
Walau bagaimanapun, PROTES menegaskan bahawa semua acara tersebut adalah penting dan para peserta dinasihati agar hadir sepanjang hari sebagai tanda solidariti rakyat yang mahu agar suara mereka yakni SUARA RAKYAT didengar oleh pihak kerajaan. Kita mahu bukan setakat suara PROTES Rakyat itu didengar tetapi juga mesti difahami dan dirasai oleh regim pemerintah.
Justeru itulah maka konsep Himpunan 6.7.08 ini bukan bersifat “touch and go” sepertimana lazimnya. Tetapi kita mahu menghimpun rakyat pada jangka masa yang lebih panjang bagi membolehkan maklumat penerangan berkaitan “Minyak Negara” yang sepatutnya menjadi harta rakyat jelata dapat difahami dengan sebaiknya oleh semua pihak.
PROTES percaya bahawa himpunan ini merupakan satu bentuk pendidikan dan penerangan kepada rakyat. Ia bukan satu ancaman terhadap keselamatan negara dan kerajaan wajar menyambut baik usaha mendidik rakyat. Pendidikan ini adalah cabaran kepada kerajaan yakni cabaran dalam bentuk intelektual ; ilmu dan maklumat.
PROTES memberi komitmen kepada pihak berkuasa polis bahawa seluruh Himpunan 6.7.08 tersebut akan dimulakan, berlangsung dan berakhir secara aman.
Sehubungan dengan itu, PROTES sekali lagi menggesa seluruh rakyat yang terbeban dengan kenaikan harga minyak ini tanpa mengira ideologi politik masing-masing agar TURUN pada 6.7.2008 (678) nanti untuk menunjukkan protes mereka yakni “Protes Rakyat” atas tindakan tidak berperi kemanusiaan pihak pemerintah.
Hormat Daripada,
SEKRETARIAT PROTES
2 Julai 2008, Rabu
Kuala Lumpur
1 comment:
My dear Protes committee, please do more in spreading the news of the rally on 6th of July, if you want the rally to be attended by more people.
Currently, you are doing a bad job promoting the rally. And I don't even know if the rally is happening or otherwise.
Take care, I will do my part on the net.
Post a Comment