Thursday, June 19, 2008

PERUBAHAN TARIKH HIMPUNAN AMAN PROTES SEJUTA RAKYAT "TURUN" 6.7.08



Salmiyah Harun Thu Jun 19, 08 5:59:52 pm MYT (harakahdaily.net)

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Hrkh) - Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) mengumumkan bahawa perhimpunan satu juga rakyat akan diadakan pada 6 Julai 2008 bertempat di Padang Timur Petaling Jaya berhadapan Amcorp Mall pada jam 10.00 pagi.
Penyelaras Protes, Dr Hatta Mohd Ramli yakin Protes dapat mengumpul sejuta rakyat negara ini kerana keadaan negara semakin gawat dengan berbagai-bagai masalah termasuklah politik kerajaan.
Tambahan pula katanya, sudah 15 hari rakyat terus menjalani kehidupan yang terhimpit sejak kenaikan harga minyak baru-baru ini.
Katanya, kemarahan rakyat semakin memuncak dengan demonstrasi membantah kenaikan minyak merata-rata tempat termasuk di Masjid Kampung Baru dan di Kajang.
Beliau juga meminta satu juta rakyat yang akan mengikuti perhimpunan itu memakai baju berwarna merah sebagai identiti rasmi membantah kenaikan harga minyak.
Oleh itu, katanya Protes kali ini dengan slogannya 'Protes Satu Juta Rakyat Turun' akan terus menyatakan siri bantahan terhadap kerakusan kerajaan di seluruh negara.
Ketika ditanya sebab Padang Timur dipilih sebagai lokasi perhimpunan, Dr Hatta berkata Protes mengambil kira keselesaan peserta himpunan dan ia berdekatan dengan sebuah tasik rekreasi.
"Orang ramai boleh datang dari beberapa arah tanpa kesesakan seperti dari lebuh raya persekutuan dan boleh menggunakan kemudahan awam LRT yang berhenti di Taman jaya," katanya kepada wartawan di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut.
Jelasnya, dalam perhimpunan itu pemimpin Pakatan Rakyat turut berucap kemudian diikuti tayangan media tentang senario kenaikan harga minyak yang akan memberi semangat dan kesedaran kepada rakyat.
"Di samping itu, kita akan menjemput beberapa artis serta mengadakan persembahan teater bergerak untuk menaikan semangat kepada para penyokong bantahan itu," katanya.
Apa yang penting Hatta menegaskan, perhimpunan itu sebagai satu mesej penting kepada Abdullah Badawi untuk menurunkan harga minyak.
Katanya, orang ramai pula tidak perlu risau dengan keselamatan di padang itu, kerana pihak penganjur akan menyediakan seramai 3,500 petugas keselamatan untuk mengawal cubaan provokasi oleh pihak tertentu.
Beliau juga menegaskan tidak berhasrat untuk memohon sebarang permit daripada pihak polis untuk perhimpunan itu.
Merujuk hari perhimpunan yang berubah, Hatta berkata hari Ahad cuti umum dan tidak ramai yang berniaga dan keadaan lalu lintas agak lengang.
"Jika tidak ada di kalangan peniaga merungut mereka kerugian ribu ringgit kerana perhimpunan oleh Protes," katanya.
Menjawab kenapa tidak membuat di tempat yang diputuskan sebelum ini iaitu KLCC, Hatta berkata, sasaran perhimpunan kali ini agak besar dan di kawasan padang berkenaan amat sesuai di samping memudahkan pihak keselamatan mengawal.
Semasa ditanya apa kemucak perhimpunan tersebut, Hatta berkata mereka akan membuat satu 'pengisytiharan' bagaimanapun beliau tidak menjelaskan apa pengisytiharan itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang juga penyelaras Protes berkata, himpunan itu juga sebagai satu insiatif Pakatan Rakyat bahawa mereka amat serius dalam menangani masalah rakyat.
Bagaimanapun, katanya untuk menggerakkan satu juta rakyat turun sama-sama membantah kenaikan minyak adalah satu cabaran yang besar.
"Kita tunjuk kepada kerajaan kita akan menggunakan hak demokrasi untuk mengubah nasib kita sendiri," katanya.
Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin mengajak semua mahasiswa dan mahasiswi untuk sama-sama menyertai perhimpunan itu sebagai satu platform menyampaikan ketidakpuasan mereka terhadap kerajaan.
"Mereka mewakili golongan muda untuk sama-sama mengembleng tenaga bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan kerajaan memanipulasi isu minyak," katanya.
Seorang lagi penyelaras Protes S. Arultcelvan pula berkata, pada 6 Julai nanti rakyat telah membuktikan kepada kerajaan bahawa mereka menyahut cabaran Perdana Menteri untuk terus mengadakan perhimpunan bantahan. - mns_

LAGI JADUAL DEMO/ CERAMAH/ EDAR RISALAH PROTES "RAKYAT NAIK MINYAK" DI SELURUH NEGARA

22 Jun 2008 (Ahad) : Kajang, Stesen Petronas, Jam 11.00 Pagi (Hubungi 019-227 5982)

22 Jun 2008 (Ahad) : Gombak, Depan Sekolah Teknik, Jam 2.30 Petang (Hubungi 012-618 2534)

27 Jun 2008 (Jumaat) : Road Show PROTES Di Terengganu

28 Jun 2008 (Sabtu) : Road Show PROTES Di Parit Buntar, Perak

29 Jun 2008 (Ahad) : PROTES Di Sana Sini - Nilai,Seremban (Hubungi 019-227 5982) Dan Road Show PROTES Di Melaka

30 Jun 2008 (Isnin) : Road Show PROTES Di Pulau Pinang (Hubungi 013-420 3611)

4 Julai 2008 (Jumaat) : Ceramah PROTES Di Dataran Pasar Malam Kamunting, Taiping, Perak, Jam 9.00 Malam

Wednesday, June 18, 2008

Sidang Akhbar PROTES, 19 Jun 2008

PERHATIAN:

PROTES akan mengadakan Sidang Akhbar Tergempar esok (Khamis) bersamaan dengan 19 Jun 2008 di Pejabat PAS Pusat, Jalan Raja Laut pada pukul 3.00 petang.

PROTES memanggil sidang akhbar ini diadakan untuk mengumumkan "PROTES Sejuta Rakyat TURUN" yang telah dipinda ke tarikh 6.7.08 dan bertempat di Padang Timur (hadapan AMCORP Mall), Petaling Jaya, Selangor.

Semua pihak media dan bloggers dijemput hadir.

Sekretariat PROTES

Road Show PROTES Ke Arah "PROTES Sejuta Rakyat TURUN"

Ceramah Umum PROTES
24 Jun 2008, 9.00 malam
Gelang Patah, Johor
..............................
Ceramah Umum Protes
27 Jun 2008, 9.00 malam
Markas PAS Simpang Pelangai
pertanyaan 0132799700
....................................................
Ceramah Umum PROTES
28 Jun 2008, 9.00 malam
Pej. keADILan DUN Gadek, Melaka
...........
Ceramah Umum Protes
4 Julai 2008,9.00malam
Teluk Intan
pertanyaan - 013 2799700

Jika ada lagi ceramah atau road show di tempat anda yang tidak disenaraikan diatas, sila email kepada kami, protes2008@gmail.com.

Aktiviti PROTES pra "PROTES Sejuta Rakyat TURUN"

Roadshow dan demontrasi kearah "PROTES Sejuta Rakyat TURUN" pada 6.7.08 di Padang Timur (Berhadapan AMCORP Mall), Petaling Jaya, Selangor.

1) 20 Jun 2008

Demo Di Masjid-Masjid Utama Seluruh Selangor:
  • Masjid Kampung Melayu Ampang, Ampang
  • Masjid Puncak Jalil, Serdang

  • Masjid Simpang Tiga, Gombak
  • Masjid Raja Muda Musa, Hulu Langat
  • Masjid Sekincan, Sungai Besar
  • Masjid Negeri, Shah Alam
  • Masjid Damansara Utama, Petaling Jaya Utara
P/s: Kesemua demo diatas akan diadakan selepas solat Jumaat.

2) 22 Jun 2008

Demo di:

  • Pekan Kuala Pilah - 10 Pagi
  • Stesen Petronas berhampiran dengan High School Kajang - 11 pagi.
  • Berhampiran dengan Sekolah Menangah Teknik, Gombak - 2.30 petang.
3) 29 Jun 2008

Demo di:
  • Stesen Petronas di Semenyih - 10 pagi
  • Stesen Bas Nilai - 3.00 petang.

Jika ada aktiviti dikawasan anda yang belum kami senaraikan, sila emailkan kepada protes2008@gmail.com.

Sunday, June 15, 2008

Perhimpunan PROTES Minyak di Seremban

Oleh orangklawang

A

Seremban : Sabtu 14 Jun 2008 Tepat jam 11.30 pagi seperti yang dijanjikan PROTES dan gabungan parti-parti Pakatan Rakyat telah mengadakan satu perhimpunan aman di perkarangan Terminal One Shopping Complex membantah kenaikan harga minyak secara melampau yang membebankan rakyat. Pemimpin PROTES seperti YB Dr Hatta Ramly dan Cikgu Badrul telah hadir. Pimpinan parti-parti pakatan rakyat telah dihadiri oleh YB Loke Siew Fook (Ketua Pembangkang / Pengerusi DAP NS), Saudara Zulkefly Mohamad Omar (Pesuruhjaya PAS NS), En Sabaruddin (Setiausaha PKR NS), YB P.Guna (Timbalan Pengerusi DAP) dan YB Hj Taufek Ghani (Ketua DPPNS / ADUN Paroi).

YB Dr Hatta Pengerusi PROTES Malaysia / Bendahari PAS Pusat sedang memberikan ucapan

Pemimpin terakhir yang memberikan ucapan adalah YB Dr Hatta. Beliau mengucapkan terima kasih pada semua yang telah hadir beramai-ramai untuk menunjukkan bantahan kenaikan harga minyak ini kepada kerajaan BN khususnya Pak Lah. YB Dr Hatta juga mengucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana memberikan kerjasama dan telah memberikan ruang kepada RAKYAT untuk menyuarakan bantahan secara aman.

Selepas itu YB Dr Hatta telah mengetuai perarakan RAKYAT yang berarak dari Terminal One Shopping Complex ke hadapan Bangunan UMNO NS untuk menyatakan bantahan dan rasa tidak puas hati kerana UMNO/BN tidak prihatin dengan masalah rakyat. Dalam isu minyak yang nyata dan terang telah menghimpit dan menyusahkan rakyat UMNO hanya berpeluk tubuh dan berdiam diri tanpa suara dan langsung tidak mahu atau tidak ingin membela rakyat.

Cikgu Bard AMT PKR & AJK PROTES Pusat sedang menyampaikan ucapan yang berapi-api.

Dari Bangunan UMNO perarakan rakyat diteruskan sehingga ke stesen minyak Shell dan perarakan tersebut telah ditamatkan disitu. Seterusnya para pemimpin dan demonstran telah bersurai dengan aman tepat pada jam 12.30 seperti yang dijadualkan.


Saudara Zulkefly Omar Pegerusi PROTES NS dan juga Pesuruhjaya PAS NS


YB Loke Ketua Pembangkang NS dan juga Pengerusi DAP NS sedang berucap.


http://orangklawang.blogspot.com

Saturday, June 14, 2008

Himpunan aman amaran awal rakyat pada PM

Saidah Hairan| Foto: Wan Zahari Wan Salleh (Harakahdaily)

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Hrkh) - Himpunan aman rakyat Malaysia yang membantah kenaikan harga minyak merupakan amaran awal kepada Perdana Menteri dan Timbalannya supaya menurunkan harga petrol dan diesel sebelum mereka melakukan perhimpunan lebih besar.

ImagePerhimpunan aman pada awalnya dirancang petang semalam menuju ke Suria KLCC terpaksa dibatalkan disebabkan halangan daripada Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) di beberapa jalan utama menuju ke bangunan berkembar tersebut.

Perarakan yang bermula di Masjid Jamek Kampung Baru itu turut di halang oleh pihak Polis di Jalan Raja Muda dan mereka terpaksa melalui Jalan Raja Alang dan terus ke Jalan Raja Laut.

Lebih 3000 peserta yang berarak terpaksa berhenti di hadapan kompleks membeli belah Sogo kerana semua jalan disekat. Mereka melaungkan slogan 'Turun...turun...harga minyak, BN turun, Pak Lah turun, Najib turun'. ImageDi tengah pancaran matahari, peserta duduk bersimpuh di jalan tar yang panas mendengar ucapan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan pimpinan PAS serta KeADILan.

Mohamad Sabu mengajukan persoalan kepada peserta perarakan, "Apakah kita mahu membayar makanan pagi RM10, tengahari RM10, petang RM10?"

Serentak kedengaran laungan "Tidak mahu" bergema di sepanjang Jalan Raja Laut.

Sehubungan itu Mohamad mengingatkan himpunan rakyat akan diteruskan sehingga pemerintah menurunkan harga minyak.

Image"Apakah mereka tidak ingat mereka dipilih oleh rakyat, mereka tidak insaf walaupun rakyat telah menolak mereka dalam pilihan raya umum lalu,"katanya di hadapan Sogo.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub memberi amaran kepada Perdana Menteri bahawa perarakan petang ini menunjukkan isyarat supaya Abdullah mesti berhenti.

Ini kerana katanya, rakyat menjadi mangsa di atas kezaliman pemerintahan beliau.

"Kita mesti meneruskan bantahan sampai mereka menurunkan harga minyak," tegasnya.

ImageUcapan pimpinan PAS Pusat dan KeADILan itu diselang selikan dengan laungan; "Turun-turun...harga minyak; Turun-turun BN; Turun-turun Pak Lah, Turun-turun Najib".

Sementara itu, AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Nawawi turut mengingatkan Perdana Menteri dan Timbalannya, Dato' Seri Najib Tun Razak bahawa himpunan rakyat itu memberi mesej kepada Umno-BN agar jangan mempermainkan rakyat.

Katanya, jika pemerintah Umno-BN terus mempermainkan rakyat, mereka mempunyai kuasa untuk menurunkan Umno-BN.

Image"Amaran awal kita rejim Umno-BN kalau tidak turunkan minyak dan tol rakyat akan berhimpun lebih satu juta pada 5 Julai nanti," tegasnya.

Beliau melaungkan, pimpinan BN hidup kaya akibat meragut hasil kekayaan negara.

Sementara itu Ketua Angkatan Pemuda KeADILan, Shamsul Iskandar Mohd Akin melaungkan, kerajaan Umno-BN sudah gila kerana telah menaikkan minyak sebanyak 78 sen.

"Ini orang gila punya kerajaan. Tidak tahu masalah rakyat. Kita akan kutip satu juta tandatangan sebelum 5 Julai ini," jelasnya.

Beliau menjelaskan, kutipan tandatangan itu merupakan protes rakyat yang terbesar tercatat dalam sejarah politik tanahair.

ImageUcapan beliau itu disambut laungan orang ramai; "Minyak naik, rakyat geram'.

Dalam pada itu, Timbalan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasharuddin Thantawi berkata, rakyat menghadapi pimpinan negara yang menipu.

Ini kerana katanya, sebelum pilihan raya Najib mengeluarkan kenyataan minyak tidak akan dinaikkan tetapi selepas pilihan raya minyak telah dinaikkan.

Beliau menjelaskan maksud hadis, 'mana-mana maruah pimpinan yang menipu rakyat mereka diharamkan Allah daripada masuk ke dalam Syurga'.

ImageTambah beliau, "Mana-mana pimpinan yang menyusahkan kehidupan rakyat mereka akan disusahkan kelak di akhirat."

Ucapan di hadapan Sogo itu diakhiri dengan bacaan doa oleh AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad. Peserta dan pimpinan PAS dan KeADILan meneruskan perarakan sehingga ke hadapan Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Ketika peserta demonstrasi berpusing balik ke Pejabat Agung PAS, semua kenderaan bas, kereta, motor yang berhenti di lampu isyarat membunyikan 'hon' tanda memberi sokongan.

Peserta perarakan yang berhimpun di pejabat Agung terpaksa bersurai kerana pihak polis berkawal di hadapan pejabat itu.

Bagaimana tidak ada sebarang tangkapan dan kekasaran yang berlaku di sepanjang perarakan petang ini.

Friday, June 13, 2008

2,000 play 'cat and mouse' with cops



Video from Malaysiakini.

PROTES SEJUTA RAKYAT, 5 JULAI 2008, SABTU, JAM 3.00 PETANG, KLCC

PROTES dengan ini ingin memaklumkan bahawa beberapa pindaan, perubahan dan ketetapan baru telah diambil selepas persetujuan dicapai di dalam Mesyuarat Gabungan MemPROTES Kenaikan Harga Minyak [PROTES] yang berlangsung pada petang kelmarin, 12 Jun 2008,2.00 petang di Bangunan PAS Jalan Raja Laut Kuala Lumpur.

Bagi menjelaskan kekeliruan maklumat yang berlaku sebelum kenyataan media ini dan mengambil kira maklumbalas kemarahan rakyat di seluruh negara atas gesaan serta harapan rakyat agar Himpunan Aman PROTES Seratus Ribu Rakyat yang awalnya telah dijadualkan pada 12 Julai 2008 maka dengan ini PROTES ingin memaklumkan bahawa :

1. Tarikh Bagi Perhimpunan Tersebut DISEGERAKAN Ke Tarikh Baru Iaitu 5 JULAI 2008, SABTU, 3.00 PETANG, DI KLCC.

2. PROTES Telah Menetapkan Sasaran Barunya Iaitu Sejuta Orang Peserta. Justeru PROTES Menamakan Himpunan Tersebut Sebagai HIMPUNAN AMAN PROTES SEJUTA RAKYAT.

3. Warna Tema Yang Dipilih Bagi Himpunan Tersebut Ialah Merah Sebagai Simbol Kemarahan Dan PROTES Rakyat.

4. Logo Rasmi Terbaru PROTES (Sebagai Simbol Kesatuan Rakyat) Akan Dilancarkan Pada 18 Jun 2008 Untuk Digunapakai Pada Setiap Peralatan/ Bahan PROTES Bersempena Himpunan PROTES SEJUTA RAKYAT 5 Julai 2008 nanti.

PROTES seterusnya menyeru kepada seluruh jentera parti dan badan-badan bukan kerajaan yang sudah dan belum bergabung di dalam PROTES terus menggerakkan kesedaran rakyat di seluruh negara agar turun beramai-ramai bagi menyertai “Himpunan Aman PROTES Sejuta Rakyat” pada 5 Julai 2008 yang akan datang.

Sebagai penganjur perhimpunan aman yang bertanggungjawab, PROTES kini dalam rangka perbincangan hal-hal teknikal bagi memastikan kelancaran perjalanan perhimpunan tersebut.

Sehubungan dengan itu, PROTES akan memaklumkan kepada rakyat dalam tempoh terdekat laluan-laluan dan tempat-tempat letak kenderaan khususnya rombongan peserta yang datang dari luar Kuala Lumpur. Adalah juga dinasihati agar para peserta yang berada di sekitar Lembah Kelang menggunakan pengangkutan awam dari tempat masing-masing untuk ke KLCC pada hari berkenaan.

PROTES berharap pihak polis akan memberi kerjasama dalam menjayakan perhimpunan aman ini. Dengan ini juga, PROTES ingin menyatakan kesediaan kami untuk berbincang dengan pihak polis bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang dijangka akan berlaku.

PROTES berpendirian bahawa hak berhimpun dan meluahkan perasaan adalah hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia Perkara 10. Kami berharap semua pihak akan bekerjasama dan memastikan hak perlembagaan ini dihormati.

Akhirnya, PROTES menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang prihatin agar turut serta menjayakan “Himpunan Aman Rakyat PROTES Sejuta Rakyat” ini.

Sebarang pertanyaan berhubung bolehlah dimajukan kepada Sekretariat PROTES di alamat emel : protes2008@gmail.com . Maklumat berkaitan PROTES juga boleh diperolehi daripada www.protes2008.blogspot.com .


Hormat Daripada,

GABUNGAN MEMBANTAH KENAIKAN HARGA BARANG [PROTES]



DR. MOHD. HATTA B. HJ. RAMLI
Koordinator

13 Jun 2008, Juma’at
Kuala Lumpur

Thursday, June 12, 2008

MINYAK – KENAPA KITA MARAH

Hishamuddin Rais

Harga minyak semakin meledak tinggi. Orang ramai semakin marah.

Saya telah menulis tentang bahan bakar minyak petroleum ini seawal wujudnya kolum Dot Mai saya di Malaysiakini. Saya juga telah menulis tentang perkara yang sama untuk pembaca Mandrin di akhbar Oriental Daily. Apabila saya menulis di Suara Keadilan agenda minyak ini telah beberapa kali saya garap.

Kali akhir saya menulis tentang minyak ialah apabila saya membaca niat PKR untuk menurunkan harga minyak sebagai janji pilihan raya umum ke 12. Saya memiliki pandangan yang berbeza dari hal bahan bakar minyak petrol.

Saya sedar TIDAK ramai yang memahami apa yang telah saya tulis dalam masa sepuluh tahun ini. Ada yang tidak mahu faham. Dan ada pula yang menganggap pandangan saya ini adalah pandangan seorang hippie yang anti-kereta dan anti-pembangunan.

Saya adalah penganut mazhab Peak Oil/Puncak Minyak. Puncak Minyak ini adalah satu teori yang mengajukan pandangan bahawa minyak yang mula ditemui 150 tahun dahulu kini kian habis. Pada awalnya bahan mentah ini senang memancut dan mengalir keluar. Peningkatan ilmu dan teknologi moden telah dapat pula membantu pengaliran minyak dengan banyak - sama ada dari daratan mahu pun dari perut laut.

Pancutan yang melimpah ruah dari telaga minyak ini akhirnya akan sampai ke satu tahap yang paling tinggi. Tahap tinggi ini dipanggil Puncak Minyak. Sesudah sampai ke tahap puncak ini maka pancutan minyak itu akan mula menurun. Akhirnya untuk mengeluarkan saki minyak dalam perut bumi air wajib dipancut ke dalam bumi agar dapat menolak minyak ke atas. Ini sedang berlaku di banyak telaga-telaga minyak di Saudi.

Ketika pancutan/pengaliran bahan bakar ini melimpah dengan banyak maka negara-negara yang memiliki telaga-telaga minyak itu telah menjadi negara pengeksport minyak. Negara-negara ini menjadi kaya dan telah bergabung di bawah OPEC. Apabila pengeluaran minyak susut – tidak mencecah satu juta tong sehari untuk di terima sebagai ahli OPEC - maka negara ini terpaksa meninggalkan OPEC. Ini telah berlaku kepada Indonesia.

Negara jiran kita ini bukan lagi negara pengeksport tetapi negara pengimport minyak. Susutnya pengeluaran minyak adalah tanda-tanda bahawa telaga-telaga di negara ini telah melintasi Puncak Minyak. Inilah sebahagian dari asas teori Puncak Minyak.

Data-data pengeluaran minyak dari negara-negara pengeksport telah menunjukkan semakin banyak negara-negara pengeluar minyak telah melintasi zaman Puncak Minyak – ertinya minyak dalam perut bumi negara itu semakin kurang. Malaysia sendiri dalam masa 10 tahun yang akan datang TIDAK lagi menjadi negara pengeksport bahan bakar minyak.

Jika kita faham dan mahu menerima asas teori Puncak Minyak ini maka kita perlu melakukan tindakan dan langkah-langkah yang logik dan masuk akal. Retorik politik perlu dipadamkan kerana ia bukan jawapan untuk Puncak Minyak. Kita semua wajib ‘sejuk kepala’ agar dapat dirangka strategi jangka pendek dan strategi berjangka panjang untuk menghadapi dunia tanpa minyak yang PASTI berlaku dalam hayat kita ini.

Memang betul bahawa kenaikan harga minyak yang baru berlaku ini telah menaikkan kemarahan rakyat. Kenaikan harga petrol ini sudah pasti akan membawa mudarat ekonomi. Harga barang-barang keperluan akan naik dalam masa yang terdekat. Kos belanja hidup akan meninggi, selagi gus tahap kehidupan warga akan menurun kerana pendapatan/ pencarian tidak lagi dapat menampung kos.

Memang tepat jika orang ramai bangun membantah, berdemo dan memprotes kenaikan harga minyak yang menyusahkan orang ramai. Tetapi kemarahan ini juga seharusnya berdasarkan beberapa perkara yang hakiki yang perlu di fahami oleh orang ramai.

Marah kerana minyak petrol naik harga sedang menjadi-jadi di seluruh dunia. Demonstrasi sedang merebak di merata-rata kota dalam dunia. Marah yang menyirapkan darah rakyat Malaysia ada puncanya. Malaysia sebagai negara pengeluar minyak tetapi harga minyak mahal. Kenapa ini berlaku? Inilah soalan yang menyirapkan darah.

Soalan – kenapa ini berlaku - menjadikan orang ramai marah. Jawabnya – semua ini adalah hasil kerenah dasar ekonomi kerajaan United Malays National Organisation. Dasar ekonomi pembaziran selama 50 tahun ini telah membuat orang ramai marah. Kemarahan ini pasti menjemput orang ramai turun ke jalan raya untuk berdemo.

Kemarahan awal – semenjak syarikat Petronas ditubuhkan pada tahun 1974 – kita sebagai warga negara telah TIDAK diberitahu penyataan kira-kira kewangan syarikat minyak ini. Syarikat minyak ini adalah hak milik negara. Negara itu ialah kita semua. Kita ialah rakyat. Ertinya Syarikat ini adalah hak milik kita semua. Bukan hak milik United Malays National Organisation, bukan hak milik Hassan Merican atau hak milik Mahathir Muhamad.

Sebagai warga kita berhak untuk mengetahui pendapatan, belanjawan dan pelaburan yang telah, yang sedang dan yang akan dilakukan oleh Petronas. Selama lebih dari 30 tahun ini duit dari Petronas telah TIDAK diketahui ke mana lesapnya.

Kemarahan kedua – Pembaziran demi pembaziran telah dilakukan selama 22 tahun oleh Mahathir Muhamad. Lihat bangunan Dayabumi – kosong. Lihat bangunan berkembar Petronas – satu darinya kosong. Lihat pula Litar F1 Sepang – kosong. Lihat pula Bangunan Konvensyen di Putera Jaya – kosong. Lihat pula agenda Monsoon Cup - kosong. Lihat pula Kampung Hadari di Kuala Terengganu – Kosong. Berbilion-bilion duit Petronas diambil untuk projek-projek gila.

Marah sahaja TIDAK cukup. Masanya telah sampai untuk kita semua turun ke jalan raya untuk menghentikan pembaziran ini.

Rakyat WAJIB bangun, marah, keluar berdemo dan menuntut dibuka semua akaun Petronas untuk di ketahui umum. Kenapa akaun ini dijadikan rahsia? Kenapa rahsia? Apa sebab menjadi rahsia? Apa yang ingin di sorokkan?

Kemarahan ke tiga - Rakyat wajib tahu – berapa ramai pemain Filharmonik Orkestra Petronas itu rakyat Malaysia? Rakyat wajib tahu berapa belanja mengupah Mat Saleh kokak yang dalam negara mereka sendiri TIDAK ada kerja, kini datang berlagak menjadi pemuzik di Malaysia?

Kemarahan ke empat - Najib dan Razak Baginda yang mendapat komisen beli kapal selam itu duitnya datang dari mana? Apa gunanya kapal selam ini? Hendak menyelam apa? Apakah ini projek-projek ‘senjata’ ini bertujuan untuk buat duit? Bukankah ini duit dari jual minyak?

Kemarahan ke lima - Rakyat wajib diberi tahu siapa yang melantik Mahathir Muhamad menjadi penasihat Petronas? Ketika Mahathir berkuasa dahulu siapa pula penasihat Petronas? Kalau dahulu TIDAK ada penasihat kenapa sekarang perlu ada. Apakah Mahathir Muhamad yang menjaga duit Petronas? Betul kah duit Petronas telah diambil untuk membayar hutang Mirzan anak Mahathir pada tahun 1997 dahulu?

Lima kemarahan ini hanyalah kemarahan awal. Hakikatnya jika semua pembaziran ini dihentikan PASTI harga minyak dapat diturunkan.

Tetapi waspada penurunan ini hanya untuk sementara. Kerana akhirnya minyak tidak dapat tidak akan naik juga harganya kerana bahan bakar petrol semakin kurang ditemui. Jadi tuntutan kita untuk menurunkan harga minyak hari ini wajib dibaca sebagai strategi jangka pendek untuk membeli masa.

Membeli masa bertujuan agar kita dapat melakar strategi berjangka panjang. Satu dasar baru untuk melahirkan satu struktur ekonomi baru yang dapat mengubah seluruh cara hidup kita semua. Strategi ini memerlukan perbincangan yang mendalam. Memerlukan pandangan dari semua sektor ekonomi. Strategi ini TIDAK memerlukan retorik politik tetapi daya fikir untuk melihat bukan 10 atau 20 tahun tetapi untuk melihat 1000 tahun tamadun manusia yang akan datang.

Jadi – masa nya telah sampai untuk kita semua turun ke jalan raya. Turun ini bukan sahaja untuk mengubah harga minyak tetapi untuk mengubah keyakinan diri kita bahawa akhirnya kerajaan ini adalah milik rakyat. Hanya kerajaan berpaksikan kepentingan rakyat dan BUKAN kerajaan berpaksikan untung yang dapat menyelesaikan masalah orang ramai hari ini. END